“Secantik Bondanya”, Tunku Azizah Dedah Kisah Baju Kurung 35 Tahun Yang Dipakai Tengku Jihan

Kenangan terindah buat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar apabila busana yang dipakai 35 tahun lalu dikenakan kembali anakanda Seri Paduka, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah.

Gambar yang dimuat naik oleh Tunku Azizah itu dikongsi dalam akaun Twitter Seri Paduka, @cheminahsayang malam tadi.

Perkongsian itu dibuat untuk berkongsi kenangan bersama pengikut Seri Paduka sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah, Selasa lalu.

Tunku Azizah yang memuat naik gambar Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah yang memakai busana sama seperti ketika Pertabalan ayahanda Seri Paduka, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail pada 1984.

“ 35 tahun kemudian, Jihan (Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah) mengenakan baju kurung yang saya pakai ketika pertabalan ayahanda saya (Almarhum Sultan Iskandar) dalam 1984… Alhamdulillah,” titah Seri Paduka dalam akaun Twitter @cheminahsayang.

Ciapan Seri Paduka itu mendapat perhatian warga maya yang memuji status tersebut.

“ Gambar 1984 …sekali pndang nmpk tuanku mcm Lady D… cantiknyaaaa. Dua-dua cantik sangat,” balas

@az_aishaz.

Bagi @NurAmir52666395 pula kecantikan Tunku Azizah kekal dari dulu sehingga kini.

“ Tuanku…dulu lawa…tp sekarang tuanku lagiiiiiiii lawa…’speechless’ la…,” katanya.

Terdahulu penampilan anggun puteri bongsu kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu tular di media sosial.

Persalinan dikenakan Tengku Puteri Jihan diperbuat daripada satin Dutch bersulam renda Perancis, merupakan persalinan bondanya, Tunku Azizah ketika menyaksikan pertabalan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada November 1984.

Ini kata-kata Tengku Jihan

Ketika ditemui Bernama selepas selesai istiadat pertabalan, Tengku Puteri Jihan, 17, berkata, beliau bangga dan selesa mengenakan baju kurung milik bondanya yang mempunyai nostalgia tersendiri.

“ Saya rasa bangga. Menurut bonda, kain (baju kurung) ini dibeli di London. Bonda pakai semasa berumur 23 tahun. Perlu besarkan sedikit sahaja di bahagian pinggang,” katanya.

Pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim yang berpengalaman 15 tahun sebagai ‘tukang jahit’ busana Tunku Azizah dan semua anakanda baginda, diberi tanggungjawab mengubah suai saiz baju kurung Tunku Azizah itu untuk disesuaikan dengan saiz pinggang Tengku Puteri Jihan.

Permasyhuran Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Selasa lalu merupakan detik bersejarah negara apabila Seri Paduka berdua merupakan anak kepada bekas Yang di-Pertuan Agong.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih. Viral Network

Sumber: utusan

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "“Secantik Bondanya”, Tunku Azizah Dedah Kisah Baju Kurung 35 Tahun Yang Dipakai Tengku Jihan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*