Tersalah Hubungi Grab Food, Lelaki Terkedu Lihat Siapa Penunggangnya Hingga Sanggup Tolak Kereta Rosak

“ Rasa macam‘ jejak kasih’ pula kerana sudah lebih enam tahun lalu kami tidak bertemu satu sama lain tetapi berjumpa secara tidak sengaja pada malam itu,” kata Awg Ku Mohd Yusof Awg Ku Mat Yassin, 25

Awg memberi reaksi berhubung video keretanya ditunda dua penunggang Grab Food yang mencuri perhatian warganet selepas tular di laman sosial.

Menceritakan perkara sebenar, Awg berkata, pada hari berkenaan iaitu 2 Ogos lalu, dia tiba di Kuching dari Lawas, Sarawak dan kunjungannya itu disebabkan urusan kerja.

Katanya, ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke stesen minyak, kenderaan dipandunya berhenti secara mengejut.

“ Sebenarnya, saya sudah meninggalkan kereta di parkir lapangan terbang berkenaan sejak 16 Jun lalu dan ke Kuching untuk mengambil semula kenderaan itu selain menyelesaikan urusan kerja.

“ Disebabkan terlalu lama meninggalkan kenderaan di situ, enjin kereta tidak dapat dihidupkan tetapi masalah selesai selepas mendapat bantuan seseorang untuk menghidupkannya (kereta) dengan kabel ‘jumper’.

“ Tetapi, kereta saya berhenti dengan tiba-tiba tidak lama selepas memandu keluar dari lapangan terbang. Pada mulanya, saya bercadang untuk mencari kereta sewa tetapi menukar fikiran dengan menghubungi Grab.

“ Namun, saya tersilap apabila menghubungi Grab Food dan terkejut kerana salah seorang penunggangnya adalah rakan lama saya iaitu Husnie Sukor,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Awg, walaupun menunggang motosikal, dia kagum kerana Husnie tidak keberatan membantu sehingga dia selamat sampai ke stesen minyak berhampiran yang terletak kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi kejadian.

“ Saya sendiri tidak tahu bagaimana Husnie dan rakannya boleh menunda kenderaan saya walaupun hanya dengan menunggang motosikal.

“ Rasa bersyukur kerana ketika saya dalam kecemasan, mereka datang membantu walaupun pertemuan itu hanya satu kebetulan dan tidak dirancang.

“ Lebih membuatkan saya terharu apabila Husnie enggan menerima upah diberikan kerana ikhlas melakukannya. Saya anggap ada hikmah di sebalik apa yang berlaku kerana sekurang-kurangnya, kami bertemu semula kerana selama ini hanya bertanya khabar di laman sosial saja,” katanya yang bekerja sebagai kontraktor.

Sementara itu, Husnie, 29, yang melakukan pekerjaan sebagai penunggang Grab Food secara sambilan berkata, dia berkenalan dengan Awg ketika sama-sama bekerja di sebuah stesen minyak kira-kira tujuh tahun lalu tetapi sudah lama tidak berhubung, sejak masing-masing bertukar kerjaya.

“ Tak sangka pula, insiden pada malam itu mempertemukan kami namun bukan saya seorang tetapi dua lagi rakan iaitu Muhammad Firdaus Ricky Muhammad Zuliskandar Libin, 24 dan Syed Muhammad Hadri, 20 turut membantunya pada pada berkenaan.

“ Kami membantu dengan ikhlas dan tak sangka pula, video kami menunda kereta Awg tular di media sosial.Terima kasih kepada yang semua memberi komen positif,” katanya yang berkhidmat sebagai guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Stoh di Lundu, Sarawak.

Kisah Husnie dan rakannya membantu Awg mencuri perhatian warganet selepas gambar dan videonya dimuat naik pengguna Facebook, Azfainizam Tuah, 26.

Sehingga kini, hantaran berkenaan mendapat lebih 260 tanda suka dan dikongsi oleh 1,200 warganet.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih. Viral Network

Sumber: hmetro

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "Tersalah Hubungi Grab Food, Lelaki Terkedu Lihat Siapa Penunggangnya Hingga Sanggup Tolak Kereta Rosak"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*