‘Ikut suka berapa nak bayar’ -Pengusaha Dapur Infaq Ummah

KEINGINAN seorang peniaga di Kuantan menyediakan hidangan sarapan pagi berkonsepkan ‘ikut suka berapa nak bayar’ bertambah kuat selepas melihat seorang penuntut universiti hanya mampu membayar makanan dimakan sebanyak 30 sen.

Badrul Jamili Kamaruddin, 45, yang mengusahakan Restoran Dapur Infaq Ummah berkata, konsep itu bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan asnaf bersarapan.

Katanya, pelanggan boleh makan apa sahaja makanan dan membayar seikhlas hati dengan memasukkan wang ke dalam tabung disediakan di kaunter bayaran.

Katanya, sejak beroperasi tiga bulan lalu di Kompleks Dagangan Indera Mahkota, sambutan diterima begitu menggalakkan apabila setiap hari dia menyediakan sebanyak 150 roti tempayan.

“Walaupun berkonsepkan bayar seikhlas hati, namun purata setiap hari saya mampu meraih pendapatan RM750 hingga RM900 dan tidak pernah menanggung kerugian,” katanya.

BADRUL Jamili menyediakan roti tempayan berkonsepkan ikut suka berapa nak bayar di restorannya. FOTO Mohd Rafi Mamat

 

Menurutnya, beliau bersyukur kerana dapat dapat membantu golongan memerlukan terutama asnaf dan penuntut institusi pengajian tinggi yang tidak cukup perbelanjaan harian.

“Sejak tiga bulan beroperasi kini terdapat lebih 100 pelanggan tetap pelbagai peringkat umur dan kerjaya termasuk pesara yang hampir setiap minggu datang untuk menikm4ti sarapan pagi.

“Saya perhatikan terdapat kumpulan pesara yang datang ke Restoran Dapur Infaq Ummah lebih kepada ingin menderma, mereka mendakwa sambil makan mereka dapat bersedekah untuk golongan memerlukan. Biasanya masing-masing akan memasukkan RM50 dalam tabung.

“Hasil pendapatan setiap hari selepas ditolak modal dan gaji empat pekerja saya akan kumpul untuk digunakan bagi menjayakan program sumbangan makanan kepada asnaf, pelajar dan gelandangan,” katanya.

Badrul Jamili berkata, beliau bercadang membuka dua lagi cawangan Restoran Dapur Infaq Ummah di Kuantan tahun depan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Sumber:Harianmetro

 

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "‘Ikut suka berapa nak bayar’ -Pengusaha Dapur Infaq Ummah"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*