Hebat anak Melayu! Cakap dan doa yang baik-baik, baiklah yang datang

Hakikatnya, sudah ramai anak Melayu yang hebat. Minggu ini sahaja beberapa nama anak muda Melayu cemerlang kita dengar dan raikan.

Nurul Ezzaty Hasbullah sekarang belajar di University of Pennsylvania US. Beliau telah diisytiharkan penerima Anugerah Biasiswa berprestij Rhodes.

Untuk pengetahuan, Biasiswa Rhodes ialah satu program tajaan pengajian pascasiswazah antarabangsa ditubuhkan pada 1902 dan merupakan biasiswa yang paling berprestij dan tertua di dunia bagi memberi peluang kepada penerimanya menyambung pelajaran tahap tinggi di Universiti Oxford.

Pelajar Malaysia yang menuntut di Fakulti Sains dan Sosial, Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat, Nurul Ezzaty Hasbullah, 23 tahun kini dalam semester akhir pengajiannya dan bakal bergraduasi pada Mei 2020 dalam bidang kesihatan dan masyarakat (major dalam bidang kesihatan global).

Muhammad Haiqal Hanafi pula cemerlang dalam sukan. Beliau baru sahaja ditabal sebagai Raja Pecut Asia Tenggara.

Pelari berusia 20 tahun itu, muncul juara selepas `membakar’ trek dengan kepantasan masa 10.35 saat (s), mengatasi pencabar utama dari Thailand, Ruttanapon Sowan di tempat kedua dengan 10.49s untuk sekali gus bergelar raja pecut baharu Asia Tenggara.

Hakeem Mohammad Akmal, 18, pula mendapat skor penuh 100 peratus bagi kertas FA1 Recording Financial Transactions sekali gus mencipta sejarah dunia dengan berada di tempat pertama bagi subjek berkenaan.

Hakeem berkata, dia tidak menyangka akan menerima anugerah berkenaan yang dikurniakan oleh badan profesional perakaunan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) United Kingdom memandangkan dia tiada asas dalam perakaunan berbanding rakan kuliah lain yang lebih berpengalaman.

Ramai lagi anak Melayu Hebat

Banyak lagi kisah anak Melayu yang hebat di peringkat antarabangsa. Tetapi yang sedihnya kisah negatif anak Melayu pula yang selalu dihadapkan pada umum. Diulang-ulang bahawa anak Melayu bermasalah.

Untuk orang Melayu menjadi bangsa yang maju, teladan kejayaan (success story) harus diperhebatkan.

Ibubapa Melayu kena mula banyakkan bercakap hal yang baik dan cemerlang pada anak-anak mereka sehingga menjadi budaya dan ikutan sejak kecil.

Kurang kan bercakap hal hal yang buruk. Kalau yang buruk sahaja diungkit, yang salah saja disebut, jiwa anak Melayu akan menjadi lesu. Semangat mereka akan menjadi lemah.

Kalau yang baik kita minta, baiklah yang datang, kalau yang buruk kita minta, buruklah yang menjelma.

 

Kredit: Coretan di atas dipetik dari facebook Anuar Ahmad

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "Hebat anak Melayu! Cakap dan doa yang baik-baik, baiklah yang datang"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*