‘Balik-balik kasi trofi’- Azhan Rani

KUALA LUMPUR: “Jika pemenang acara nyanyian dan lawak sering menerima ganjaran lumayan, termasuk wang tunai, mengapa perkara sama tidak dipraktikkan untuk anugerah membabitkan pelakon?

“Kebanyakan acara yang mengiktiraf pelakon pada hemat saya, hanya terarah untuk nama semata-mata. Sesetengah anugerah, langsung tidak memberikan impak kepada pemenang.

“Kami hanya menerima trofi yang membuktikan bakat diiktiraf, sedangkan kami turut menyumbang kepada industri hiburan menerusi karya yang dijayakan,” demikian luahan Azhan Rani.

Pelakon yang popular menerusi watak Ustaz Hamadi dalam drama Nur dan Nur 2 itu berkata, sebelum ini, beberapa acara anugerah mengiktiraf pelakon dengan memberikan imbuhan seperti wang dan hadiah percutian atas kejayaan mereka.

Ganjaran itu, katanya, biarpun tidak besar, tetapi mampu menjadi pembakar semangat untuk mereka bekerja keras dan terus menggali potensi.

“Saya mengharapkan akan ada perubahan dan penganjur tidak lagi mengulangi perkara sama apabila pemenang hanya diberikan trofi. Namun, nampaknya perubahan itu belum berlaku.

“Selepas menang, kami akan kembali menjalani rutin seperti biasa. Tiada beza sama ada menang atau kalah, cuma yang berjaya akan pulang membawa trofi. Sedangkan kami turut membuat pelaburan untuk menyarung persalinan mengikut tema dan mengeluarkan pelbagai perbelanjaan lain,” katanya.

Pemenang trofi Pelakon Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 dan Antagonis Pilihan, Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 itu berkata, dia tidak berniat mempertikai keikhlasan pihak yang menganjurkan sesuatu anugerah.

Dia bagaimanapun, berharap pihak terbabit mempertimbang usulnya itu sebagai menghargai usaha dan keringat anak seni mengangkat industri hiburan tempatan.

Sumber : BH Online

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "‘Balik-balik kasi trofi’- Azhan Rani"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*