Majlis cukur jambul anak Azrinaz penuh magis

KUALA LUMPUR: Majlis cvkur jambul dan akikah puteri bekas personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim, Areesya Malaykha, berlangsung dalam suasana penuh gilang gemilang.

Bahkan, sebahagian daripada 350 tetamu pada acara yang diadakan di sebuah hotel terkemuka, di sini, baru-baru ini, menganggap majlis terbabit umpama taman tema.

Bayi perempuan yang dilahirkan pada 15 September lalu itu adalah hasil perkongsian hidup Azrinaz, 40, bersama Fairos Khan Abdul Hamid.

“Sebenarnya, saya dan suami tidak mempunyai konsep tertentu bagi majlis cvkur jambul dan akikah anak kami ini. Saya cuma mahukan sesuatu yang berbeza dan penuh magis.

“Tatkala masuk ke dewan acara, saya mahu tetamu berasakan mereka seolah-olah berada di ‘wonderland’ ataupun Disneyland.

“Lebih utama, tetamu pulang dengan kenangan indah yang tidak dapat dilupakan,” kata Azrinaz yang menggunakan khidmat pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim, bagi merealisasikan majlis terbabit.

Mengenai Areesya, Azrinaz mengakui kehadiran si kecil cukup bermakna dalam kehidupan mereka.

“Saya percaya setiap wanita akan berasa begitu bahagia apabila dikurniakan zuriat. Allah memilih kita untuk menerima anugerah terindah ini.

“Di luar sana, ada pasangan yang menunggu begitu lama untuk menimang cahaya mata. Jadi, hargai detik dan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Tiada apa yang lebih bernilai daripada nyawa (anak) ini,” katanya.

Majlis berkenaan turut menyaksikan kehadiran Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Tidak ketinggalan memeriahkan acara ialah teman artis seperti Ziana Zain, Anuar Zain, Rozita Che Wan, Zain Saidin, Dayang Nurfaizah, Datin Seri Umie Aida, Datuk Ziela Jalil, Datuk Shah Rezza dan Datin Seri Nina Juren.

Azrinaz, yang pernah menjadi penulis kolum akhbar BH, dan Fairos melangsungkan perkahwinan pada 1 Mei tahun lalu.

 

Sumber :BH Online

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "Majlis cukur jambul anak Azrinaz penuh magis"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*