Bos Susu disenangi ramai, tak ‘buat perangai’ macam penaja GV terdahulu – “Kami pentingkan kredibiliti, tak perlu nak riuh-riuh”

PENAJA program Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Azmi Zainal enggan terikut-ikut dengan teknik pemasaran viral yang biasa dilakukan oleh pengasas produk lain ketika muncul secara langsung di televisyen.

Menurut Azmi atau lebih dikenali sebagai Bos Susu, dia percaya produk yang berkualiti akan mendapat tempat di hati pelanggan dan teknik pemasaran yang betul  secara tidak langsung membawa imej baik terhadap jenamanya.

“Setiap pengasas produk mungkin ada karakter tersendiri dalam memasarkan jenama mereka, memandangkan produk kita digunakan oleh semua peringkat usia terutamanya kanak-kanak, jadi kita kena bawa imej baik dan tak perlu nak riuh-riuh.

 “Kami mementingkan kredibiliti kerana kalau produk itu baik pasti orang akan terima dan masyarakat lebih suka jika penjual menjual sesuatu dengan lebih bersopan santun, berbudi bahasa daripada tak tentu arah.

“Nak viral senang, buat saja perangai tak senonoh sikit untuk viral… tapi itu bukan cara kami. Dalam bisnes, kita tak mahu harapkan viral semata-mata tetapi fikirkan macam mana nak kekalkan jenama sehingga dipercayai oleh semua orang,” katanya kepada mStar.

Sikap Azmi yang lebih merendah diri dan tenang ketika GV bersiaran langsung dipuji penonton.

Nama Bos Susu selaku penaja utama GV6 mula menjadi sebutan netizen apabila ada yang membandingkan cara pemasarannya dengan penaja GV sebelum ini iaitu Datuk Seri Aliff Syukri dan Datuk Seri Vida.

Penonton berpendapat Azmi lebih mudah dikawal selain karakternya yang tenang berbanding penaja terdahulu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh ini mengakui turut menerima tempias populariti dan semakin dikenali.

Azmi bersama kumpulan One Nation Emcees, Jatt dan Naqiu ketika lawatan ke ladang ternakan lembu.

“Sejujurnya, dulu orang tak kenal saya tapi sekarang dah berubah sampaikan minum di mamak, hentian rehat dan masuk toilet pun orang kenal.

“Alhamdulillah, boleh buat kawan dan bersahabat dengan ramai lagi orang terutamanya pelanggan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azmi berkata dia turut menerima maklum balas positif penonton yang memuji inisiatifnya mewujudkan segmen kongsi rezeki di GV6.

Segmen kongsi rezeki menerima reaksi positif penonton.

Katanya, segmen itu merupakan salah satu bentuk sumbangan dan tanggungjawab sosial syarikat untuk membantu artis-artis veteran.

“Daripada respons penonton ramai yang sukakan segmen kongsi rezeki di mana ia juga merupakan salah satu cara kita nak terapkan nilai murni sambil berhibur.

“Bagi saya itu lebih baik daripada kita hanya gelak ketawa sahaja… sekurang-kurangnya ada mesej baik untuk penonton,” ujarnya yang tidak keberatan untuk menaja program yang sama pada tahun depan.

 

 

Sumber : Mstar

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "Bos Susu disenangi ramai, tak ‘buat perangai’ macam penaja GV terdahulu – “Kami pentingkan kredibiliti, tak perlu nak riuh-riuh”"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*