Mahligai cinta selebriti

PERUMPAMAAN bagai pinang dibelah dua sememangnya sesuai bagi pasangan pengantin yang baru disatukan sebagai suami isteri.

Justeru, rentetan sepanjang tahun ini ramai juga pasangan selebriti tempatan bertemu jodoh.

Antara pasangan selebriti yang naik pelamin ialah penyanyi, Ameer Forteen dan pasangannya, Siti Nur Naja’a Shamsul Karam bernikah pada 1 Mac, personaliti TV3, Ally Iskandar Mohd Mardzi dan Marlina Ibrahim (23 Jun), penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz dan Norfarahin Mohd Roslan (25 Ogos), penyanyi, Sufi Rashid dan Nurulain Md Yusof (21 September), pelakon dan pengacara, Sarah Hildebrand dan Otto Gillen (3 November), pelakon Nazrief Nazri dan Aizatul Aqma Hamdan (16 November), pengacara dan pelakon, Ain Edruce dan Amirul Hafiz Mustaffa (13 Disember), penyanyi Fitri Haris dan Fazilah Omar (21 Disember), penyanyi Fatin Husna dan Luqmanul Haqim (21 Disember) serta penyampai radio Suria FM, Issey Fazlisham dan Noor Aimi Jamel (22 Disember).

Berikut 10 pasangan pengantin sensasi pilihan sisipan RAP yang turut diraikan dalam majlis perkahwinan meriah.

1) Elfira Loy dan Faris Khairol Anuar (1 Januari 2019)

Acara perkahwinan gemilang pelakon Elfira dan suami, Faris Khairol Anwar berlangsung meriah dengan lima majlis resepsi.

Terdahulu, Elfira mengikat pertunangan dengan Faris yang berjawatan pengurus besar syarikat telekomunikasi pada 2 September tahun lalu.

Hampir setahun melayari bahtera rumah tangga, pasangan ini sudah dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhamad Rayyan Khalaf pada 1 Oktober lalu.

2) Fasha Sandha dan Aidil Aziz (28 Mac 2019)

Pelakon sensasi, Fasha Sandha bertemu jodoh buat kali kedua dengan pelakon drama Aidil Aziz.

Pasangan ini bertunang pada 18 November tahun lalu dan bernikah pada Mac bersempena ulang tahun kelahiran Fasha.

Terdahulu, Fasha yang juga ibu tunggal dua anak pernah gagal dalam perkahwinan pertamanya dengan ahli perniagaan, Toh Muda Rizal Ashram Ramli.

3) Bella Dally dan Arif Izuddin Mohd Radzali (30 Mac 2019)

Pelakon dan model, Bella Dally juga berkahwin kali kedua dengan lelaki pilihannya, ahli perniagaan dikenali Arif Izuddin Mohd Radzali.

Bella yang pernah gagal dalam perkahwinan terdahulu, memilih Mac untuk disatukan menjadi isteri Arif.

Pasangan sejoli ini berkenalan pada Ogos tahun lalu dan mengikat pertunangan selepas lima bulan menjalin hubungan rapat.

4) Nelydia Senrose dan Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid (6 April 2019)

Pelakon jelita Nelydia Senrose bertemu jodoh dengan ahli perniagaan Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid.

Sebelum acara akad nikah, pasangan ini melangsungkan majlis pertunangan sebagai syarat di hadapan lebih 200 tetamu.

Pada majlis perkahwinan itu, Nelydia turut menerima mas kahwin RM10,000 dan sembilan dulang hantaran daripada pihak lelaki.

5) Nadzmi Adhwa dan Ardell Aryana (2 September 2019)

Pasangan pelakon yang pada mulanya sekadar kawan baik iaitu Nadzmi Adhwa dan Ardell Aryana akhirnya bernikah.

Mereka saling berkenalan selama lapan tahun sebelum rapat sejak 2015 selepas membintangi drama Namaku Bedah.

Pada majlis pernikahan mereka, Nadzmi menyerahkan dua dulang hantaran berserta senaskah al-Quran.

6) Zamani Ibrahim dan Nur Juliana Abdul Rani (20 September 2019)

Vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim menamatkan zaman bujangnya pada usia 48 tahun bersama wanita pilihan, Nur Juliana Abdul Rani.

Pasangan ini yang menjalin hubungan cinta lebih sedekad dinikahkan dalam satu majlis tertutup dihadiri keluarga dan saudara rapat.

Zamani dalam temu bual media mengaku terharu dengan isterinya, Nur Juliana yang sanggup menunggunya selama 14 tahun.

7) Eyra Hazali dan Muhammad Haziq Nadzli (1 November 2019)

Pelakon remaja, Eyra Hazali, 20, bernikah dengan pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Haziq Nadzli, 21.

Eyra yang melonjak dengan drama Mr Grey menerima mas kahwin RM3,001 bersama sembilan dulang hantaran daripada pihak lelaki.

Tidak gusar berkahwin pada usia muda, Eyra bersyukur majlis pernikahannya berlangsung dengan lancar.

8) Datuk Seri Eizlan Yusof dan Datin Seri Natasha Rossa Boudville (12 Disember 2019)

Tempoh empat tahun berkawan akhirnya membuka hati Eizlan untuk menamatkan status duda digalasnya selama lima tahun.

Eizlan menyunting gadis Serani yang memeluk Islam pada tahun lalu dikenali sebagai Natasha Rossa.

Natasha yang juga pegawai pengurusan kanan sebuah hotel di ibu kota menjadi pilihan Eizlan kerana sangat disenangi tiga anaknya.

9) Farah Hazel dan Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin (20 Disember 2019)

Perkenalan sejak tiga tahun lalu membawa ke jenjang pelamin buat pasangan penyanyi Farah Hazel dan suaminya, Tengku Mohammad Kamal.

Memilih ahli perniagaan dari Terengganu sebagai pasangan hidup, Farah menerima mas kahwin RM400 dan wang hantaran RM20,000.

Terdahulu, Farah yang juga kakak penyanyi Aiman Tino mengikat pertunangan dengan Tengku Mohammad Kamal pada 6 Julai lalu dalam majlis tertutup.

10) Farah Nabila dan Mohammed Amirul Yunus (20 Disember 2019)

Bijak menyembunyikan hubungan bercinta selama tujuh tahun, pelakon Farah Nabilah Saipuddin memilih juruterbang dikenali Mohammed Amirul Yunus sebagai teman hidup.

Pada majlis pernikahannya, Farah menerima mas kahwin RM1,000 berserta wang hantaran RM77,777.77.

Farah terpikat dengan Mohammed Amirul kerana keikhlasan serta sangat menghorm4ti ibu bapanya dan keluarga.

 

Sumber : Metro

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "Mahligai cinta selebriti"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*