Artis wanita paling laris

TAHUN 2019 yang bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi meninggalkan momen dan catatan sejarah tersendiri buat pelakon dan pengacara terkenal, Mira Filzah, 26.

Kejayaan memenangi beberapa anugerah termasuk Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH lalu adalah pencapaian tertinggi buatnya.

Penampilan Mira, 26, atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman dalam beberapa drama dan filem turut meningkatkan lagi populariti sedia ada.

Itu juga meletakkan Mira kini berada di kelas tersendiri selain menjadikan dirinya inspirasi kepada ramai orang.

“Alhamdulillah, tahun ini tahun yang sangat besar bagi saya. Ia memberi impak besar dalam kerjaya dan membawa tuah juga.

“Apa boleh dikatakan, setiap produk yang dikeluarkan sepanjang tahun ini baik dari segi drama, filem atau apa saja mendapat sambutan baik.

“Ini semua rezeki daripada Allah selain sokongan dan kepercayaan diberikan kepada saya dari dulu sampai sekarang,” katanya.

Tidak keterl4luan jika dikatakan, Mira adalah artis wanita paling laris sepanjang tahun ini dengan deretan produk drama, filem dan lantikan sebagai duta.

Mira yang juga pelakon drama Adellea Sofea yang kini ditayangkan di slot Akasia TV3 berkata, dia hanya mampu menzahirkan kata-kata itu dengan lafaz penuh kesyukuran.

“Kata-kata itu satu doa. Kalau ada yang berkata sebegitu, saya aminkan saja. Nak komen pun tak tahu nak cakap apa dan saya bersyukur kerana tahun ini menjadi tahun yang baik buat saya,” katanya.

Walaupun setiap kejayaan itu diselangi dengan cerita peribadi dan gosip percintaan, Mira sebaliknya menyifatkan populariti yang dicipta datang daripada setiap hasil kerja.

“Saya percaya, populariti diraih adalah daripada produk saya seperti drama Sweet Dream, Pujaan Hati Kanda dan filem Sangkar.

“Bagi saya, cerita peribadi yang timbul hanya sampingan dan tidak membawa kepada populariti. Ia lebih kepada apa yang peminat nak tahu. Jadi, untuk diri saya, saya percaya kerjaya lebih menyumbang kepada populariti,” katanya.

BELUM NAK KAHWIN LAGI

Kenyataan dikongsi kepada Harian Metro sebelum ini mengenai hubungannya dengan seseorang yang bukan dalam kalangan penggiat seni menjawab segala teki-teki yang timbul.

Apatah lagi, sepanjang tahun ini Mira hangat diperkatakan dengan pelakon, Remy Ishak selepas muncul dalam beberapa projek. Sebelum ini dia dikaitkan dengan pelawak popular, Zizan Razak.

Biarpun tidak memberikan gambaran jelas identiti lelaki itu, Mira mengakui dia sedang berkawan dan dalam proses mengenali antara satu sama lain

“Seperti diperkatakan sebelum ini, kami berkawan dan masih dalam proses mengenali. Selebihnya, saya tidak ada apa-apa komen. Soal jodoh ketentuan Allah. Saya percaya pada itu,” katanya.

Namun, pelantikan Mira sebagai Face of Bridal Rico Rinaldi 2020 seakan memberikan gambaran kepada perkara itu.

“Perkara itu tiada kena-mengena langsung dengan diri saya. Sebab ada bertanya, adakah saya nak kahwin dalam masa terdekat ini? Jawapannya tidak.

“Sebenarnya, Rico sudah lama pelawa saya untuk menjadi wajah produk mereka. Cuma, saya menunggu masa sesuai dan kelapangan kerja saya.

“Kebetulan hujung tahun ini saya lapang. Kita pun bekerjasama untuk menjayakannya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mira masih diberi kepercayaan untuk mengacarakan program Nona di TV3 untuk tahun ketiga.

“Alhamdulillah, saya selesa mengacarakan program ini. Bagi saya, selama dua tahun ini ia berlangsung baik. Diakui pada awalnya sedikit kekok, tapi masuk tahun kedua saya sudah selesa.

“Saya berasa sangat serasi. Bagi saya, program sebegini buat saya nak belajar lebih lagi. Apabila menjadi pengacara berbentuk ilmiah, fakta dan banyak lagi, ia membuatkan saya nak tahu lebih banyak perkara dan lebih penting banyak membaca.

“Jadi, program sebegini membantu untuk perkembangan minda,” katanya.

 

Sumber:Hmetro

 

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "Artis wanita paling laris"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*