Bangkit dan bangkitnya Hady Mirza… bak Phoenix

 Tahun 2019 ini boleh disifatkan sebagai tahun di mana Hady Mirza bangkit dan terus bangkit. Bak Phoenix yang berkilauan dan bercahaya-cahaya, bangkitnya Hady ini begitu ketara dirasakan.

Sehinggakan tokoh muzik terkemuka M Nasir, semasa peringkat separuh akhir bertanya kepada Hady: “Ke mana kamu pergi selama ini?”. Beliau begitu tertarik dan terkesan dengan bakat dan suara emas Hady Mirza.

Malah selepas itu ketika diwawancara dalam bahagian selingan, M Nasir berkata beliau memilih Hady Mirza sebagai johan dan Naqiu sebagai naib johan.

(Gambar: Official Ria X/Instagram)

Pendeknya, kemenangan Hady Mirza dalam Gegar Vaganza 6 (GV6) tahun ini bukan sahaja menjulang namanya sebagai ‘Raja Pertandingan Nyanyian’ selepas tiga kali ditabalkan sebagai johan. Malah, pentas besar di seberang tambak itu jelas ibarat nyawa kedua bagi penyanyi 39 tahun ini.

Meskipun namanya memang sudah sebati dengan para penggemar muzik Singapura selepas menjadi menjadi juara Singapore Idol 2 (2006) dan Asian Idol (2007), pelibatannya dalam GV6 melonjakkan lagi jenama ‘Hady Mirza’ sebagai penghibur semula jadi yang versatil dan berbakat. Malah beliau kini benar-benar berjaya menembusi dan memikat pula hati para penonton di Malaysia.

(Gambar: Official Ria X/Instagram)

Kematangan usianya memainkan peranan besar dalam kemajuannya dalam bidang nyanyian, berbanding 13 tahun lalu. Namun, lebih penting lagi, mungkin pengalaman hidup begitu mendewasakan Hady demi membolehkan beliau terus bangkit, dan bangkit lagi, sehingga berjaya mencipta fenomena serta menjadi sebutan di seluruh Malaysia buat pertama kalinya, dan di Singapura sekali lagi.

(Gambar: Hady Mirza Official/Instagram)

Hady yang kita kenali, kini cukup merendah diri dan berterus-terang setiap kali menyebut tentang kemenangan dalam wawancara dengan BERITAmediacorp sebelum ini: “Saya tidak fikirkan tentang kemenangan. Saya sudahpun menang di Singapore Idol dan Asian Idol dan kemenangan tidak akan menjamin kita akan dapat kerja pada masa akan datang.”

Penilaian Hady itu boleh disifatkan berdasarkan pengalamannya sendiri yang antara lain pernah tular sebagai seorang pemandu Grab, penjual motosikal dan ahli perniagaan makanan Tempting Trading.

Malah pasang surut perniagaan, dan kehidupan, tidak pernah lekang dari minda Hady, bahkan lebih mematangkan dirinya dalam menghadapi cabaran demi cabaran, baik dalam pertandingan mahupun dunia seharian.

Ini terutama sekali setelah beliau tewas dengan masalah d4d4h setahun lalu, yang jelas menjadi pengajaran penting dan bermakna bagi dirinya.

Bahkan beliau “hanya mampu bersyukur” dengan rezeki yang diberikan tahun ini “kalau dibandingkan dengan tahun-tahun lepas” di mana “banyak perkara tidak elok yang berlaku” kepada dirinya.

(Gambar: BERITAmediacorp)

“Untuk bangkit semula, anda harus ‘jatuh’ di sesuatu tempat. Setiap orang di sini melalui perkara yang sama. Anda ters4ndung, anda j4tuh atau ini mungkin hari terburuk dalam hidup saya, tetapi pada masa yang sama, Allah ada rancangan (lebih baik) untuk saya.

“Anda harus yakin dan selalu berdoa apabila kita berada di bawah sekali, Allah akan mengangkat doa anda dan mengabulkan doa itu,” kongsi Hady semasa sesi bertemu peminat di Singapura pada 28 November lalu.

KONGSI MEMORI PALING MANIS

Yang jelas, kebangkitan Hady tiba tepat pada waktunya, apabila ramai penggemar muzik tempatan jelas merindui suara dan sentuhan magis beliau yang cukup ‘menjadi’ dalam setiap persembahan.

(Gambar: Official Ria X/Instagram)

Pasti ramai yang sukar melupakan persembahan mendayu-dayu Hady menyanyikan lagu ‘Cinta Luar Biasa’ dan aksi penuh bertenaga bagi lagu ‘Jatuh Bangun’.

Malah, Hady turut akur bahawa kedua-dua persembahan ini jugalah antara memori paling manis sepanjang pertandingan GV6 itu.

“Itulah momen-momen yang kita tak dapat kembalikan. Bila dah habis momen itu, macam nak buat persembahaan lagi dan lagi,” ujarnya kepada BERITAmediacorp sehari sebelum malam konsert akhir GV6.

(Gambar: Official Ria X/Instagram)

Meskipun dalam wawancara-wawancara dengan BERITAmediacorp sebelum ini Hady sering menjelaskan tidak mempunyai strategi, menjadikan beliau sebagai pesaing terbesarnya untuk memberikan yang lebih baik lagi, jelas antara salah satu strategi beliau secara tidak langsung.

Malah, keikhlasan beliau dalam menghadiahkan persembahannya setiap minggu juga mungkin salah satu faktor kejayaannya dalam GV6, dan dalam menambat hati juri dan para penonton, selain ‘akrobatik vokal’ beliau yang cukup memukau.

“Bila kita dalam pertandingan, kadangkala kita akan menyanyi untuk bertanding tetapi menyanyi untuk kepuasan diri sendiri dan untuk memuaskan hati orang ramai yang menonton, itu adalah lebih penting daripada bertanding. Itu yang saya percaya.

(Gambar: Official Ria X/Instagram)

“Sebab saya rasa muzik dan hiburan adalah sesuatu yang ‘pure’. Kalau kita ikhlas, ia akan nampak. Kalau kita mod bertanding, ia akan nampak bertanding juga,” jelas Hady selepas ditabalkan sebagai juara bersama.

BUKA PELUANG DALAM BIDANG LAIN

Sekali bah, sekali pantai berubah. Sekali itu jugalah tsunami yang dibawa Hady Mirza membawa bersamanya pelbagai rezeki.

Sepanjang peraduan GV6 itu, Hady membawa pulang hadiah wang berjumlah RM106,000 (S$34,730) kesemuanya dalam bentuk hadiah tunai tempat pertama dan gelaran Artis Cili Padi Paling Power sebanyak dua kali, dengan RM3,000 (S$980) setiap satu.

Yang pasti, kebangkitan Hady bukan sahaja menaikkan namanya di luar negara, malah turut membuka lebih banyak peluang untuk menceburi bidang lain, seperti pengacaraan dan mungkin lakonan, tidak lama lagi.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Bahkan kecemerlangan berterusan seseorang penggiat seni dalam industri tentu sekali tidak dapat berpacukan tujuan lain, selain niat yang ikhlas dalam menyampaikan sesebuah karya.

“Hati saya membuat persembahan untuk anda. Bukan untuk hadiah wang tunai, untuk menjadi terkenal mahupun kemenangan. Itu semua pernah saya kecapi. Kecintaan saya untuk membuat persembahan, itu yang paling penting,” kata Hady.

Itulah yang dinamakan kematangan. Kematangan menggunakan pengalaman lalu untuk membina kehidupan baru. Kematangan untuk bangkit semula dan kini ‘memberi’ pula kepada orang ramai.

Mungkin tahun 2019 akan dikenali sebagai tahun di mana Hady Mirza benar-benar bangkit bak Phoenix. 

 

 

Sumber : BERITAmediacorp

 

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "Bangkit dan bangkitnya Hady Mirza… bak Phoenix"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*