Sambut tahun baru, ingat resepsi kami – Zamani

MAJLIS resepsi penyanyi kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 49, dan isterinya, Nur Juliana Abdul Rani, 37, berlangsung sederhana tetapi meriah di Mercure Selangor, Selayang hari ini.

Majlis yang bermula dari jam 11 pagi hingga jam 5 petang itu dimeriahkan dengan kehadiran hampir 2,000 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, rakan artis, kenalan rapat dan peminat.

Penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu berkata, dia terharu dan seakan tidak percaya apabila majlis bersejarah dalam hidupnya itu akhirnya menjadi realiti.

“Saya bersyukur dan amat berterima kasih kepada perunding perkahwinan Wedding Studio yang menaja sepenuhnya majlis ini.

“Sewaktu berada diatas pelamin ketika bersanding, saya rasa seolah-olah seperti bermimpi.

“Perancangan ini dibuat sebelum saya menunaikan umrah pada hujung Oktober lalu. Tarikhnya memang dah ditetapkan dari awal iaitu 1 Januari 2020,” katanya.

Katanya, mereka sengaja mencipta kelainan apabila memilih tarikh itu bagi meraikan semua pihak selepas bernikah pada 20 September lalu.

“Saya berbincang dengan perunding perkahwinan, Habibah serta kakak, Zuraidah dan kami sepakat pilih tarikh yang istimewa ini.

“Kiranya apabila meraikan tahun baharu setiap tahun, ia sekali gus meraikan ulang tahun majlis resepsi kami.

“Selain itu, hanya tarikh ini saya ada kelapangan kerana selebihnya diisi dengan jadual persembahan yang padat,” katanya.

Zamani berkata, untuk tahun ini, dia akan fokus untuk projek konsert bersama kumpulan Slam.

Majlis itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu jemputan khas pada sebelah pagi, manakala peminat pada sebelah petang.

Antara rakan artis yang hadir ialah anggota kumpulan Slam, Shah dan Lili, Ameng Spring, Shafie Rio, Syafiq Farhain serta komposer Saari Amri.

 

Sumber : Metro

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "Sambut tahun baru, ingat resepsi kami – Zamani"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*