“Kami Tak Malu, Tapi…,” – Bocey Jelaskan Prestasi Persembahan Di Semi Final MLM2019

“Rakan-rakan lain yang buat persembahan pun bagus, kita dah cuba yang terbaik.” itu kata  salah seorang anggota Bocey, Fad yang akui sudah jangka nama kumpulannya akan diumumkan sebagai peserta yang mengumpul markah paling rendah berdasarkan prestasi di saingan separuh akhir Maharaja Lawak Mega (MLM) tahun ini.

Meski mendapat markah paling rendah iaitu 51.29 peratus, namun tuah menyebelahi Bocey apabila tiada peserta yang tersingkir dan kesemua lima kumpulan layak untuk bersaing ke peringkat akhir, Jumaat depan bagi merebut hadiah utama berupa wang tunai RM500,000 beserta trofi.

Mengulas lanjut mengenai persembahan pada malam semi final semalam, Fad menjelaskan persembahan kedua terpaksa diubah saat akhir kerana dirasakan tidak bersesuaian.

“Bila dinilai daripada komen para juri dengan markah yang diperolehi, memang kami sudah dapat agak akan dapat keputusan yang paling bawah. Di atas kertas pun kita sudah boleh ‘baca’, tapi kami percaya rezeki.

“Kami kecewa dengan diri sendiri memandangkan lawak yang dipersembahkan kami tukar saat akhir. Sepatutnya ia benda lain. Ketika rehearsal, kami rasakan persembahan itu tidak sesuai. Kami yang pilih untuk tukar dan kami kena reda sama ada jadi atau tidak.

“Bagusnya hikmah dengan apa yang berlaku membuatkan kami buka mata supaya lebih kerja keras, bersaing ke malam final buat kali keenam,” jelas Fad optimis.

Pernah menjulang trofi juara MLM sebanyak dua kali sebelum ini, Fad mewakili Bocey akui keputusan malam ini bukanlah sesuatu yang memalukan, sebaliknya ia lebih tepat kepada rasa kecewa dengan diri sendiri.

“Kami tak malu, tapi kecewa dengan diri sendiri. Dalam MLM ni, kalau dikata orang itu bagus atau pernah menang ke, ia bukan ukuran. Sebab itulah kami cakap, kami reda.

“Kalau tahun ini terkeluar, maknanya bukan tahun kamilah. Kami pun saling minta maaf dan apa yang telah terjadi bukan salah siapa-siapa,” jelasnya lagi.

Bersiaran selama 11 minggu, tema separuh akhir MLM kali ini ialah ‘budaya’ dan ‘loghat/slang’ menyaksikan kumpulan Puteh mendapat markah tertinggi iaitu sebanyak 65.67 peratus.

Sebanyak 70 peratus jumlah pemarkahan akan dinilai oleh juri profesional setiap minggu sementara 30 peratus markah pula adalah hasil daripada undian penonton menerusi SMS dan digital.

MLM Akhir akan bersiaran secara langsung Jumaat depan menerusi Astro Warna (132) dan Astro Warna HD (124) dari Royal Theatre, Shah Alam jam 9.00 malam.

Juri tetap bagi MLM tahun ini ialah Datuk Jamal Abdillah, Inul Daratista, Lisa Surihani dan Najip Ali.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber:  MH via Sinar Viral

 

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "“Kami Tak Malu, Tapi…,” – Bocey Jelaskan Prestasi Persembahan Di Semi Final MLM2019"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*