“Siapa cakap tak cantik?”- Dina tepis d4kwaan turunkan berat badan kerana..

KUALA LUMPUR: ‘Kecantikan itu subjektif, tak kiralah saiz badan kita.’

Biarpun mengaku berusaha menurunkan berat badan, penyampai radio Era FM, Dina Nadzir percaya semua orang cantik dan menawan.

Berjaya mengurangkan enam kilogram (kg) dalam tempoh sebulan, Dina yang sudah 16 tahun mencipta nama dalam dunia seni, teruja dilantik sebagai duta pusat pelangsingan badan buat kali pertama.

“Tidak semestinya berbadan langsing itu cantik. Perkara ini sangat subjektif, tidak kiralah saiz atau bentuk badan kita,” katanya pada majlis penghargaan media pusat pelangsingan badan dan kecantikan, SS Kl1nic di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dina, 35, bagaimanapun menepis dakwaan konon menurunkan berat badan kerana mahu menamatkan zaman bujang.

“Selama ini, saya selesa dengan tubuh dan warna kulit dimiliki. Namun, saya tidak ketinggalan mencuba pelbagai cara untuk mengurangkan berat badan.

“Saya sangat terbuka dan sentiasa berusaha meningkat kemampuan diri dalam apa sahaja bentuk.

“Apabila dapat mengurangkan berat badan sebanyak enam kilogram dalam tempoh sebulan dengan khidmat nasihat SS Klinic, saya sangat teruja. Berat badan saya daripada 112 kg menjadi 106 kg,” katanya.

Dina mengaku seronok dapat menyarung semula busana lama malah mampu duduk bersilang kaki sekarang.

“Leher pun sudah mula kelihatan. Naik dan turun tangga yang selama ini membuatkan saya semput, sudah tidak lagi,” katanya yang popular dengan lagu Cinta Datang Lagi.

Dina atau nama sebenarnya, Faradina Mohd Nadzir berharap dapat menurunkan berat badan sehingga 80 kg.

“Saya pernah seberat itu ketika berusia 16 tahun. Nampak macam mustahil. Tapi siapa tahu saya boleh capai sasaran,” katanya.

Mengulas mengenai karier muzik, Dina yang sudah 12 tahun menjadi penyampai radio berharap dapat kembali mengasah vokal tahun ini.

“Saya sudah lama beritahu mahu kembali aktif termasuk terbabit dalam pementasan muzikal. Namun, dalam hati, selalu terlintas persoalan bolehkah saya melakukannya lagi? Rasa diri sudah tua,” katanya.

Namun, Dina berkata, abangnya mencipta sebuah lagu berentak balada buat dirinya.

“Kakak ipar saya menulis lirik lagu yang antara lain berkisar mengenai teman baik yang ada perasaan terhadap sahabat sendiri.

“Namun, akhirnya, disedari teman baik itu sudah berpunya,” katanya yang kali terakhir muncul dengan lagu duet, Selamat Tinggal bersama Zizan Razak pada 2011.

 

Sumber : BH Online

 

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "“Siapa cakap tak cantik?”- Dina tepis d4kwaan turunkan berat badan kerana.."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*