Wanita mesti jaga diri – Dr Siti Hasmah

KUALA LUMPUR: Jaga diri biarpun sudah sampai ke tahap tinggi.

Itu antara pesanan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kepada wanita dalam rakaman temubual bersama Geng Pagi Hot iaitu Shuk, Shuib dan Fizie di kediamannya di sini, baru-baru ini.

Temubual yang disiarkan pagi tadi, menyaksikan tiga penyampai stesen radio Hot FM itu mendekati Dr Siti Hasmah dan bertanya pelbagai soalan, termasuk berkaitan sambutan Hari Wanita Sedunia, semalam.

“Wanita sekarang lebih berdikari, tahu apa yang perlu dilakukan dan sebaliknya. Saya cukup bangga melihat wanita kita makin meningkat dalam apa segi pun.

“Tapi kita perlu berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk. Apabila kita sampai pada tahap tinggi, maka perlulah sentiasa menjaga diri,” katanya.

Shuk, Shuib dan Fizie menemuramah Dr Siti Hasmah di kediamannya, pada 26 Februari lalu. Rakaman wawancara itu disiarkan jam 7 pagi tadi sempena Hari Wanita Sedunia. Program itu akan diulang siar pada jam 2 petang, Jumaat ini.

Selain berkongsi kisah cintanya dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengalaman ketika menjadi penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dr Siti Hasmah berkongsi rasa terkejut apabila suaminya meletak jawatan.

Pada pertemuan itu, Dr Siti Hasmah juga diperdengarkan single terbaru Datuk Seri Siti Nurhaliza, 7 Nasihat yang menampilkan artis hip hop duo, Luca Sickta dan Kmy Kmo.

Paling istimewa, Dr Siti Hasmah menunjukkan kebolehannya bermain biola hadiah pemberian Siti Nurhaliza dengan mengalunkan lagu Engkau Laksana Bulan dan menyanyi bersama.

Sementara itu, Shuib yang juga suami kepada Siti Sarah Raissuddin menyifatkan pertemuan dengan Dr Siti Hasmah sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Perasaan itu umpama kita berjumpa bonda sendiri. Walaupun dahulu kita rasa jauh, tapi saat jumpa berdepan, pantas rasa dekat. Semuanya kerana sikap beliau yang baik dan peramah, selain tidak lokek berkongsi ilmu.

“Saya sempat bertanya tip menjaga kerukunan rumah tangga. Lucunya, Dr Siti Hasmah sempat menyelit menyatakan suami tercinta kuat merajuk,” katanya.

Shuk pula berbangga dapat bertemu tokoh wanita hebat itu.

“Selama ini, ketika kecil, saya hanya menonton kelibat Dr Siti Hasmah dan Dr Mahathir di televisyen (TV). Tidak pernah terfikir dan terlintas akan berada di kediaman beliau dan makan semeja.

“Saya rasa macam mimpi, tapi sebenarnya, realiti,” katanya.

Sementara itu, penerbit slot Geng Pagi Hot, Affendy Jailani berkata, sesi temubual ini adalah kesinambungan wawancara dengan Tun Dr Mahathir, sebelum ini.

Peminat boleh melayari rakaman penuh temuramah itu di YouTube HotTV.

 

Apa pendapat anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen dan Share Ya. Terima Kasih ! Tube Viral

Jom Like Page Kami Juga di Facebook Tube Viral Press

Sumber : BH online

 

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "Wanita mesti jaga diri – Dr Siti Hasmah"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*