Farah Nabilah Gementar Menghitung Hari

KUALA LUMPUR: Bakal menamatkan zaman gadisnya pada 20 Disember ini, pelakon Farah Nabilah, mengakui debaran semakin dirasai menanti detik bersejarah dalam hidup.

Pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Titian Cinta itu berkata, perasaan gemen4tar semakin memuncak, terutama untuk memastikan segala perancangan sempena hari bahagianya berjalan lancar.

“Selepas segala usaha dilakukan, kami kini menanti hari untuk melangkah ke fasa perkahwinan. Saya bersyukur segala perancangan majlis bersejarah kami berjalan lancar dan berdoa semuanya dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

Akui Farah, 27, dugaan tidak dapat dielakkan, terutama dari segi masa memandangkan bakal suaminya, Mohammed Amirul Yunus sering berada di luar negara atas tuntutan tugas.

Kesibukan Amirul sebagai juruterbang membuatkan Farah terpaksa melupakan impian untuk melakukan sesi fotografi praperkahwinan.

“Seperti bakal pengantin lain, saya juga ingin mengabaikan momen menjelang hari bahagia kami sebagai kenang-kenangan. Namun, apakan daya, jadual kerja Amirul tidak mengizinkan kami berbuat demikian.

“Nampaknya sesi fotografi itu hanya akan disempurnakan pada hari pernikahan dan persandingan kami nanti,” kata Farah yang pernah diangkat sebagai Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31.

Mula berkenalan tujuh tahun lalu, Farah berkata, kesungguhan yang ditunjukkan Amirul membuka pintu hatinya untuk menerima jejaka berusia 28 tahun itu sebagai bakal suami.

“Saya kagum dengan kesabarannya, apatah lagi kami jarang bertemu memandangkan masing-masing sibuk. Biarpun saya tidak beriya-iya mencanang kisah percintaan kami, dugaan tidak dapat dielakkan.

“Namun, sifat saling percaya antara satu sama lain mengukuhkan lagi cinta kami. Tiada lain yang kami harapkan kecuali alam baharu yang bakal dilalui nanti akan terus diserikan dengan kebahagiaan berpanjangan,” katanya.

Pasangan itu bakal diraikan dalam dua majlis resepsi iaitu sebelah pengantin perempuan pada 21 Disember, disusuli 28 Disember untuk sebelah pengantin lelaki. Mereka juga bakal diraikan dalam satu lagi majlis pada 5 Januari depan.

 

Sumber : BHarian

 

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "Farah Nabilah Gementar Menghitung Hari"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*