‘Jaringan’ luar biasa Azkiyyah

“SEMUANYA berlaku secara kebetulan, saya tidak sangka sepakan itu menyebabkan bola melantun masuk ke jaring bola keranjang,” kata Azkiyyah Wahida Dzulkifli, 22.

Penuntut tahun empat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai video sepakan luar biasanya yang tular di laman sosial.

Menerusi video berdurasi sembilan saat itu, Azkiyyah dilihat menjaringkan gol ke dalam jaring bola keranjang ketika bermain futsal bersama sekumpulan pemain lain.

Selain warganet, jaringan berkenaan mendapat perhatian bintang bola sepak wanita Amerika Syarikat (AS) Hope Solo yang mengulang ciap video berkenaan di Twitter miliknya dengan ciapan ‘Pendekatan sukar di pintu gol. Saya tidak dapat menghentikannya’.

Bercerita lanjut, Azkiyyah berkata, sepakan itu dilakukan tanpa sengaja sewaktu cubaan menjaringkan gol ketika perlawanan futsal sempena hari sukan di kampus pada 29 November lalu.

Manakala, video berkenaan dirakam seorang pensyarah kanan, Dr Nur Fadilah Darmansah, 32, yang berada berhampiran dengan gelanggang perlawanan.

“Saya bukanlah aktif bermain futsal tetapi kebetulan mengambil bahagian dalam perlawanan liga futsal sempena hari sukan anjuran Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan.

“Selepas mendapat bola, saya melakukan sepakan ke pintu gol tetapi lain pula jadinya apabila ia melantun masuk ke jaring bola keranjang.

“Keadaan itu membuatkan saya dan semua pemain lain tergelak kerana menganggap perkara itu melucukan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, dia ada menerima kiriman video berkenaan menerusi aplikasi Whatsapp selepas perlawanan berakhir.

Namun, Azkiyyah tidak menyangka video itu mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Wanita dan penjaga gol AS, Hope Solo.

“Setiap kali perlawanan pasti ada antara kami yang akan merakam video untuk ditonton semula selepas tamat permainan.

“Cuma, video permainan kali ini menjadi tular selepas dikongsi pensyarah berkenaan di Twitter.

“Mulanya, saya tidak tahu mengenainya sehingga keesokannya selepas diberitahu rakan.

“Tak sangka banyak maklum balas diterima hasil jaringan berkenaan memandangkan ia bukanlah perlawanan besar,” katanya.

Sementara itu, Nur Fadilah berkata, video berkenaan dimuat naik dengan tujuan berkongsi detik ketika jaringan luar biasa itu dengan pengikut di Twitter.

“Kebetulan, sepakan itu dibuat ketika saya sedang merakam permainan berkenaan dan tidak lama selepas memuat naik video di Twitter, ramai memberi komen menyatakan mereka kagum dengan jaringan dilakukan.

“Menariknya, bukan hanya warganet tetapi FIFA dan Hope Solo turut berkongsi video itu di akaun Twitter masing-masing,” katanya.

Sehingga kini, video berkenaan meraih lebih 860,000 tontonan, 26,700 ulang ciap dan 22,600 tanda suka.

 

Sumber:HM

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "‘Jaringan’ luar biasa Azkiyyah"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*