Markah Hady Mirza, Naqiu sama

SHAH ALAM: Juri musim keenam Gegar Vaganza (GV6) mempertahankan keputusan menobatkan Hady Mirza dan Naqiu sebagai juara bersama program realiti itu, malam tadi.

Ketua Juri, Datuk Ramli MS memberitahu keputusan dibuat selepas mendapati markah dikumpul Hady dan Naqiu adalah sama iaitu 87 peratus, selain beraksi hebat dan tidak melakukan kesilapan dalam persembahan.

“Selepas dicampurkan semua markah juri, Hady dan Naqiu masing-masing mendapat 87 peratus. Saya kena berlaku adil dan tidak bolehlah hendak pilih hanya seorang sebagai juara.

“Mereka memberikan persembahan yang setara dan nyanyian tidak sumbang. Atas faktor itu, saya berpendapat mereka layak bergelar juara.

“Apa salahnya jika kita mengangkat mereka sebagai juara? Saya tak nampak mereka bersaing malam ini (tadi). Apa yang saya lihat, Hady dan Naqiu menyanyi seperti satu keluarga… Nampak keikhlasan mereka,” katanya pada sidang media selepas konsert malam kemuncak GV6 di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Strategi Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad serta dua juri iaitu Hetty Koes Endang dan Datuk Rizalman Ibrahim.

Pendapat Ramli disokong Hetty yang kagum dengan corak persembahan Hady dan Naqiu terutama dalam segmen ‘battle’.

Hady Mirza ketika membuat persembahan Gegar Vaganza Musim Ke-6 separuh akhir di Dewan MBSA, Shah Alam. – Foto Muhd Zaaba Zakeria

“Saya memang mengharapkan ada aksi beradu kekuatan vokal antara Naqiu dan Hady. Namun, itu tidak berlaku sama sekali. Sebaliknya, nyanyian mereka sangat harmoni. Situasi itu membuatkan saya bingung seketika.

“Mungkin selepas 11 minggu beraksi, mereka menjadi rapat dan ada keserasian. Itu yang membuatkan nyanyian mereka jadi begitu. Mana mungkin saya boleh pilih hanya seorang sebagai juara jika kedua-duanya memberikan persembahan hebat dan mengagumkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan konon keputusan mengisytiharkan dua juara sudah dirancang awal berdasarkan dua trofi diterima pemenang, Raqim menjelaskan salah satu daripada trofi yang diberi hanyalah replika yang digunakan dalam sesi fotografi mempromosikan program itu.

“Kita hanya ada satu trofi manakala sebuah trofi lagi adalah replika yang digunakan untuk tujuan promosi. Kebetulan trofi itu memang ada, jadi kita berikan kepada mereka.

Naqiu ketika membuat persembahan Gegar Vaganza Musim Ke-6 separuh akhir di Dewan MBSA, Shah Alam. – Foto Muhd Zaaba Zakeria

“Ini tiada kaitan langsung dengan spekulasi konon keputusan dibuat lebih awal seperti yang diperkatakan di laman sosial. Saya percaya dengan kredibiliti juri. Jika mereka kata dua peserta ini layak bergelar juara, saya hormat keputusan yang dibuat, ” katanya.

Malam tadi, GV6 membuat kejvtan dengan mengangkat Hady dan Naqiu sebagai juara bersama.

Keputusan yang tidak dijangka itu mencetuskan polemik dalam kalangan warganet. Ramai mempertikaikan keputusan itu yang didakwa sudah diatur awal.

Atas kejayaan Hady dan Naqiu, Kemuncak GV6 tidak mengumumkan naib juara. Jatt, mendapat tempat ketiga, Nurfatima (keempat), One Nation Emcees (kelima) dan Sham Visa (keenam).

 

Sumber : BH Online

Apa Kata Anda?

Be the first to comment on "Markah Hady Mirza, Naqiu sama"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*